Sunday 1 April 2012

Hamidan Lengkap Kemenangan Bergaya Kedah

BUKAN sekadar hero satu perlawanan! Penyerang import Kedah, Mohammed Hamidan sekali lagi membalas kepercayaan barisan jurulatih pimpinan Wan Jamak Wan Hassan yang meletakkannya sebagai penyerang utama menjaring dua gol untuk menumpaskan Perak 3-0 di Stadium Darul Aman (SDA), Alor Setar semalam.
Dia membuktikan sentuhan berbisanya semasa membantu Kedah membenam cabaran T-Team pada saingan suku akhir Piala FA Selasa lalu diteruskan pada malam gemilang Kedah di hadapan penyokong nombor satu Kedah, Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mencemar duli turun menyaksikan perlawanan.
Hadir sama Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Babak masa pertama perlawanan dilihat seimbang di antara kedua pasukan namun Hamidan berjaya mengambil kesempatan kekalutan di dalam kotak penalti Perak dan menendang masuk bola hantaran Kapten Pasukan, Baddrol Baktiar untuk mudah menewaskan penjaga gol skuad Seladang, Khairul Amri pada masa kecederaan minit ke-46.
Bermula babak kedua pula, skuad Seladang terus mengasak kubu Hijau Kuning hasil gandingan dua import mereka, Lazar Popovic dan Michal Kubala menerusi hantaran tinggi tetapi sering kali dinafikan dengan ketangkasan penjaga gawang Kedah, Mohd Helmi Eliza.
Dalam usaha Perak untuk menghasilkan gol penyamaan, jaringan gol kedua Kedah terhasil hasil kesilapan komunikasi di antara pertahanan Seladang, Mohd Syazwan dan Khairul Amri apabila Mohd Syazwan tertendang masuk ke gawang sendiri pada minit ke-77 hasil asakan yang cuba dilakukan oleh Hamidan ke kubu lawan.
Malam gemilang Hamidan dilengkapkan dengan jaringan cantiknya dari jarak 35 meter berjaya menewaskan Khairul buat kali ketiga pada minit ke-83 di hadapan kira-kira lebih 10,000 penyokong Hijau Kuning.
Percaturan pengendali Kedah, Wan Jamak Wan Hassan yang sekali lagi memberikan kepercayaan kepada Hamidan untuk berganding bersama dengan Khyril Muhymeen membuahkan hasil dan sekali gus membuktikan bahawa beliau bukan jaguh satu perlawanan sahaja.
Wan Jamak ketika ditemui selepas perlawanan mengakui kemampuan Hamidan semakin terserlah.
“Hamidan semakin membuktikan kemampuannya dan jaringan keduanya saya akui memang cantik,” katanya

No comments:

Post a Comment